Monday 6 August 2012

Pilihan Yang Berat..


Sudah hampir empat minggu saya berulang-alik dari rumah mertua ke tempat kerja. Itu memang pilihan saya buat sementara ini. Kadang-kadang saya pun tidak pasti apakah pilihan saya tepat. Perjalanan yang sejauh 110 kilometer pergi dan balik sudah tentu memenatkan fizikal dan mental saya. Sejak pengasuh Mus'ab dimasukkan ke hospital akibat kekurangan darah seminggu sebelum Ramadhan, Mus'ab dijaga sepenuhnya oleh nenek.

"Ayang larat ke?" Suami saya bertanya dengan penuh perhatian beberapa hari sebelum Ramadhan.

“Insya Allah, setakat ni okay lagi Alhamdulillah. Kita tengoklah minggu pertama Ramadhan ni.” Saya membalas. Senyum.

Suami saya memandang tepat ke mata saya. Kasihan barangkali. Saya mengalihkan pandangan sambil tangan pantas mengemaskan beg kerja. Kalau saya terus memandang wajahnya, air mata saya pasti berderai. Baru lebih kurang 10 minit saya sampai ke rumah dari tempat kerja. Susu-susu Mus’ab yang dipam di tempat kerja tadi perlu cepat-cepat dimasukkan ke dalam peti ais. Alhamdulillah, rezeki Mus’ab lebih kurang 12 oz susu berjaya dipam.

Sepanjang petang kepala saya ligat berfikir. Saya perlu membuat pilihan yang terbaik. Tinggal di rumah mertua atau berhampiran tempat kerja?

Kepada siapakah harus saya sandarkan pemilihan ini? Diri sendiri, suami, anak, mertua, pembantu rumah?

“Kalau kau duduk sini kan senang, kau tak payah susah-susah masak, cuci lipat kain baju, kemas rumah. Semua pembantu ibu yang buat. Mus’ab pun dia yang uruskan. Sekurang-kurangnya kau boleh tambah pendapatan dia.” Ibu menyampaikan alasan yang agak kukuh untuk saya terus tinggal di situ.

“Cuma mungkin penatlah sikit ulang-alik.” Ibu menambah. Mungkin melihatkan saya cuma diam dan mengangguk. Terkadang berselang senyum.


‘Ya Allah, berikanlah hambamu yang hina ini petunjuk. Kerana hanya Engkaulah yang Maha Mengetahui segala perkara yang tidak hamba ketahui. Berilah hamba kekuatan untuk bangkit mengadu dan mengaduh padaMU dalam istikharahku.’

Saya perlu bercerita dan bertanya pada Allah agar setiap keputusan berpandu iman pasti diredhai akal dan hati. Andai cuma berpandu akal, nafsu pasti cuba menguasai. Maka iman dan hati menyanggah dan menyangkal. Ikut bicara akal dan nafsu pasti diri yang diikuti, ikut detik hati pasti suami dan anak didahului, ikut nakhoda iman pastu semua faktor diambil kira dan diadili.

Andai diri jadi sandaran, akal berkata fizikal dan mental kepenatan. Bukan dekat perjalanan saya seharian. 110 kilometer perjalanan pergi dan balik. Kepanasan memandu di bawah terik mentari di dalam bulan Ramadhan pasti cukup untuk melelahkan diri, menyakitkan kepala dan melayan kantuk di kelopak mata. Setibanya, di rumah, pasti saya tidak dapat merehatkan diri sebagaimana rehat di rumah sendiri. Petangnya mesti di dapur membantu apa yang patut. Malamnya seusai berbuka mesti menguruskan anak dan segala keperluan tempat kerja. Tidur paginya pasti terganggu dek ‘nature call’ Mus’ab. Kesimpulannya, tiada yang menyebelahi diri.

Astaghfirullah.. Saya beristighfar panjang. Itu semua pandangan yang mementingkan diri saya semata-mata. Pandangan yang menambahkan beban di pundak saya sahaja. Saya perlu banyak mengoreksi diri.

Suami? Andai saya berkeputusan untuk tinggal berhampiran dengan tempat kerja, maka perjalanan suami saya sejauh 140 kilometer pergi dan balik setiap hari. Waktu malamnya juga tidak tentu. Setiap kali Mus’ab merengek, setiap kali itu juga suami saya turut bangkit menemani saya menyusukan dan membantu menukar lampin Mus’ab yang kebasahan. Pasti perjalanan seawal paginya, sesudah subuh mengundang kantuk yang amat. Sedang perjalanannya masih jauh lagi. Sesungguhnya saya tidak sanggup.

‘Ya Allah beri aku kekuatan di bulan RamadhanMu yang Mulia lagi Diberkati.’

Baru tadi saya mendengar kuliah zohor di IKIM oleh ustaz yang suka saya gelarkan Ustaz Tuan Padang. Kata beliau, kita semua terlalu dibesar-besarkan tentang Peristiwa Nuzul Quran pada 17 Ramadhan. Tetapi kita jangan lupa bahawa peperangan Badar juga turut berlaku pada 17 Ramadhan. Bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat menghadapi peperangan di padang pasir yang panas terik sedang mereka semua berpuasa? Maka beliau mengajak agar muslimin dan muslimat mengambil semangat ini untuk meningkatkan lagi potensi diri dan kerja, bukan mengambil peluang untuk membuat acuh tidak acuh terhadap segala urusan. Dengan alasan penat berpuasa.

Kisah itu benar-benar terkesan di hati saya. Pasti iman tersenyum dengan persetujuan hati. Maka akal saya terpaksa menurut. Apa salahnya saya mengalah? Mengalah bukan bermakna kalah. Mengalah kerana kepentingan bersama. Dan pada hari ke 18 Ramadhan ini, saya masih kuat untuk meneruskan pemanduan saya sejauh 110 kilometer setiap hari. Saya mohon agar suami, Mama dan Papa doakan keselamatan dan kesihatan buat saya.

'Sesungguhnya Allah pasti memudahkan jalan orang-orang yang mempermudahkan jalan orang lain.' Saya sedaya upaya cuba menyejukkan hati, mempositifkan diri.

Buat suami yang tercinta, saya mohon ampun kerana saya tidak mampu untuk menyediakan juadah hasil air tangan sendiri seperti isteri yang lain, untuk menyiapkan pakaian kerjanya seperti isteri yang lain. Yang pasti, saya merindui semua itu kerana saat saya meneruskan tulisan ini air mata saya tumpah membasahi bumi.

'Astaghfirullah, lemahnya imanku..'

No comments:

Post a Comment