Tuesday 2 February 2016

Cikgu oh Cikgu!

Assalamualaikum wbt..
"Cikgu, Cikgu ok?"
Kalau sahabat saya Ust Wan Zayuhisham tanye "Cikgu, anak saya okey?" dalam bukunya.
Hari ini saya nk tanye, 
"Cikgu, cikgu okey?"
Cikgu, cikgu hebat! Sangat hebat!
Berapa orang yang pernah bertanya tentang cikgu,
"Apa khabar cikgu?"
"Bagaimana kesihatan cikgu?"
Tidak ramai.
Tetapi cikgu? Hari-hari bertanya, memikirkan hal anak-anak orang lain. Kesihatannya, makan minumnya, pakaiannya. Sehingga kadang-kadang anak sendiri terlupa.
Ustz Wan juga seorang cikgu, tapi yang ditanye dalam penulisannya siapa? Anak cikgu ke?
Bukan! Tapi anak orang lain, yang dididik dgn penuh ikhlas dan kasih sayang.
Hari ini, kami doakan cikgu sihat, selamat pergi dan pulang kerana esok belum tentu ada.
Allahu Akbar!!
Tahniah cikgu..!
Terima kasih cikgu!
Untuk hari ini, esok dan semalam...mungkin selamanya.
~suka duka pewaris Rasulullah SAW, penyampai ilmu.

Monday 1 February 2016

Pesanan buat suami isteri

Berlapang dadalah dalam banyak hal dalam urusan rumahtangga
Akan kau temui banyak kemanisan sesudahnya
Jangan kau bertingkah di saat hatimu parah
Kelak kau hanya mengundang marah
Bukalah hatimu seluasnya kala dia mula bernada keras
Andai terluka, parutnya tiada, sakit pun tidak terasa culas
-realiti kemanisan bahtera


Friday 16 October 2015

Kasihan Si Kecil

Kelekaan pandangan terhadap skrin kecil di hadapan mata terkadang membuat kita lupa akan sentuhan tangan si kecil yang mengharap belaian..Astaghfirullah..
Lalu si kecil berlalu dengan perasaan kecewa, gundah-gulana

Jangan salahkan dia andai dia belajar menghindar dunia
Bukan silap dia andai dia tidak mencakna

Nauzubillahi min zalik
Semoga Allah sentiasa menyatukan hati-hati kita dan mereka yang dekat bersama kita

Thursday 15 October 2015

Novel: Fatimah Amna

WANITA, CINTA DAN AIR MATA

Cinta dan air mata
Anugerah terindah buat wanita
Dari Yang Maha Pencipta
Bukan simbol kelemahan semata
Tetapi kekuatan untuk bangkit semula

Cinta dan air mata
Usul kekuatan hati dan jiwa wanita
Biar rebah dek cinta dunia yang fana
Pasti nekad semangat membara
Diiringi titisan air mata tanda iman masih ada

Maka wanita
Pimpinlah nafsumu dengan iman tersisa
Tuntunlah akalmu dengan ilmu tersedia
Pasti cinta dan air mata jadi senjata
Buat muslimah, isteri dan ibu yang setia
Pada Pencipta Yang Esa



Ikhlas Hanya ALLAH Tahu

hargai mereka di sekeliling kalian seikhlasnya, andai mahu dihargai dengan ikhlas.
sayangi mereka di samping kalian seikhlasnya, andai mahu disayangi dengan ikhlas.
doakan mereka di hati kalian seikhlasnya, andai mahu didoakan dengan ikhlas.
siapa tahu ikhlas kalian? mereka tidak tahu.
hanya DIA Yang Maha Tahu.
maka..
dekatkan diri dan roh kalian dengan DIA seikhlasnya, kalian pasti mendapat penghargaan, kasih sayang dan bait doa indah dari DIA Yang Maha Hebat dan seluruh alam ciptaanNYA.

Wednesday 24 September 2014

Guru vs Kamu


Di mana guru pada pandanganmu? Di situlah letak nilai diri kamu. Tatkala hilang rasa hormatmu pada guru, tika itu lenyapnya rasa hormat orang-orang pada kamu. Waktu kamu merendahkan ilmu guru yang mendidik, saat itu ilmu bisa luput dari dadamu. Kala ada suara jelik mengherdik jasa guru, bersedialah untuk bakal dihinjak kepalamu oleh makhluk dari rahimmu sendiri..

Ini bukanlah ugutan apatah lagi penghinaan. Ini sekadar cebisan rasa daripada guru untuk kamu, bukan kerana guru itu guru kamu. Tetapi, guru itu guru si kecil dari rahimmu.

Kata guru;
Aku tidak menyalahkan si kecil kerana membawa watak antagonis di skrin harianku.
Aku tidak marahkan si kecil kerana bersikap liar di medan pengajian.
Aku tidak berang kerana celupar kata si kecil menjadi zikir membasahi bibirnya.
Dan aku tidak meradang kerana biadapnya si kecil dalam bertingkah.
Tetapi, aku sedih kerana si kecil punya kamu, membesar dalam air tangan manusia seperti kamu.

Kamu, hormatilah guru anak-anakmu. Insan sehebat Imam Syafie pun menghormati gurunya si Badwi yang jahil biarpun cuma mengajar beliau mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur.
Siapa kamu jika dibandingkan dengan Imam besar mazhab yang menjadi ikutan kita?



Thursday 24 October 2013

Saat Lafaz Sakinah I

“Kahwin ni macam satu perjudian tau..kalau bahagia Alhamdulillah..kalau tak, selamatlah kau..”
“Betul tu..macam main judi, menang untung, kalah? Mulalah macam-macam kes jenayah.”
“Baik kau fikir betul-betul sebelum ambil keputusan. Kalau tak seumur kau menyesal..”

Sungguh menakutkan mendengar nasihat-nasihat daripada ‘pakar kehidupan’ seperti ini sebelum majlis yang penuh barakah dilangsungkan. Apakah nasihat sebegini yang diperlukan di saat kita ingin melaksanakan suatu ibadah kepada Allah? Confirm! Ramai yang akan menarik diri daripada menjalankan ibadah.

Pada Along,pernikahan bukan satu perjudian hidup seperti yang biasa diperkata orang, terutamanya dalam hidup seorang muslim. Pernikahan seorang muslim telah dipandu oleh alQuran dan asSunnah. Mustahil pernikahan itu sebuah perjudian seandainya seseorang muslim itu benar-benar mengikut panduan yang digariskan. Apakah garis panduan yang Along maksudkan?

Memang betul kata kakak di atas, “…fikir betul-betul sebelum ambil keputusan…”. Tetapi bagaimanakah cara dan apakah pedoman yang kita ambil sebelum dan semasa kita berfikir. Adakah dengan hanya menggunakan logik akal, kita berupaya menyelesaikan masalah yang bakal dan belum tentu timbul dalam pernikahan? Adakah dengan meletakkan semua Thinking Hats kita mampu mengatasi isu di masa hadapan? Atau dengan menjalankan analisis SWOT ke atas pasangan yang bakal menikah dapat mengelakkan penceraian?

Beruntungnya kita sebagai seorang muslim. Di kala bukan muslim jenuh mencari jalan penyelesaian terhadap masalah psikologi rumahtangga, kita ada penyelesaiannya. Kenapa Along mengatakan kita ada penyelesaiannya? Sebab kita ada Allah yang Maha Esa, kita ada Nabi Muhammad pemimpin dunia yang terhebat. Ada yang mengatakan penyelesaian yang bagaimana? Memang ia bukan penyelesaian secara fizikal dan khusus, tetapi penyelesaian yang menyeluruh selama mana kita sentiasa mengikut garis panduan yang diberikan. InsyaAllah, kita akan sentiasa dipimpin dan terpimpin.

Dan beruntungnya kita sebagai seorang muslim, seandainya kita tidak sempat memulakan sebuah pernikahan atau ibadah lain mengikut panduan syariat, akan sentiasa ada pertolongan di saat kita mula menyedari keberadaan Allah di sisi kita. Di kala itu kita tersenyum dalam tangis.

“Biar aku pernah lupa padaMu, alpa pada perintahMu, tidak pernah Kau biarkan aku sendirian.”

Berbalik kepada permulaan sebuah pernikahan tadi, berpandukan syariat. Along  tidak akan menghuraikan bab pemilihan calon, kerana Along yakin adik-adik Along tahu dan sedar akan pesanan Rasulullah yang sangat spesifik dan mudah difahami tentang kriteria pemilihan calon suami dan isteri. Apa yang Along cuba fahamkan di sini adalah proses selepas terpilihnya seorang calon baik lelaki mahupun perempuan. Bukan proses fizikal seperti membeli keperluan pernikahan, berapa wang hantarannya, berapa dulang berbalas dulang, warna tema untuk keluarga (belum masuk tema busana pengantin), lauk pauk (tetamu VIP, VVIP dsb), tetapi lebih kepada proses dalaman diri bakal pengantin, soal hati.

Soalnya hati, sukar di mengerti
Apa terjadi di luar kawalan diri

Lagu cerita Soal Hati lakonan Erra Fazira dan Afdlin Shauki suatu masa dulu.

Soal hati yang hanya akan ditanggung oleh bakal pengantin. Dan hanya seseorang yang benar-benar bersedia untuk bernikah secara fizikal dan mental akan merasainya sesuatu yang di luar kawalan diri itu.  Kita akan mula memikirkan natijah yang akan timbul setelah bernikah biarpun pasangan yang bakal dikahwini telah hampir 10 tahun dikenali.

“Dulu mase couple, boleh main break up. Kalau dah kahwin,takkan nak….”
“Dulu mase couple, boleh flirt, mesej-mesej ngn orang lain. Kalau dah kahwin …”
“Boleh ke dia ni bagi aku makan, makan dia pun aku yang bayar?”

Pelbagai persoalan yang akan timbul di akal dan membebankan hati kerana tiada jalan penyelesaian. Senyumlah. Bersyukurlah adik-adik Along kerana kita lahir sebagai seorang muslim. Jadi untuk mengurangkan bebanan hati dengan persoalan akal yang tiada jawapan, sebagai yang paling tua dalam keluarga, Along berpesan, sentiasalah SOLAT ISTIKHARAH.

“Istikharah Along? Buatnya nanti keluar muka orang lain, teruk kita Long. Cincin tanda dah hantar.”
“Istikharah kan untuk buat pilihan, ni kan dah ada yang terpilih?”

Itulah yang selalu difahami oleh adik-adik Along. Benar, apa yang kalian fahami memang tiada salahnya. Tetapi, tiada salahnya juga menambah sedikit pemahaman terhadap solat istikharah. Solat istikharah menunjukkan suatu kebergantungan yang tinggi terhadap Allah, baik dalam membuat pemilihan ataupun keputusan. Sebagai contoh, melaksanakan solat istikharah selepas membuat sesuatu keputusan ialah semata-mata bertujuan untuk membuat hati kita redha terhadap keputusan dan apa yang bakal berlaku selepas keputusan diambil, serta yakin bahawa keputusan tersebut dipandu oleh Allah. Maka, apa-apa yang berlaku selepasnya sama ada berupa nikmat atau ujian dari Allah, kita akan sentiasa bertawakkal dan ingat bahawa Allah sentiasa bersama kita.

(Dedikasi buat adik-adik Along 6061)