Monday 27 August 2012

Selsema ke Menangis?


Sedang diri menadah doa seusai solat asar, pintu kamar terkuak. Pasti suami saya. Memang tidak salah tekaan saya. Cepat-cepat saya menyapu air mata yang membasahi kulit pipi. Kelopak mata saya mesti sudah bengkak kemerahan. Terlalu cepat dan mudah terkesan dek tangisan yang sebentar tadi. Mudah-mudahan suami saya tidak perasan. Amin.

"Abang, tadi ada lelaki Cina telefon abang." Saya memandang suami hanya dari cermin kaca. Tidak berani memandang tepat ke wajahnya.

Suami saya menghampiri. Tunduk. Tangan saya cepat melipat telekung dan sejadah. Melarikan wajah.

"Ayang selsema?"

"Haah." Angguk.

Jam sudah hampir 6.00 petang. Suami saya keluar mendapatkan Mus'ab. Sudah sampai waktu mandi. Memang kebiasaannya Mus'ab mandi dengan abi. Pakaian tidur dan diaper cepat-cepat saya siapkan. Tuala mandinya tergantung di bahu. Dari dalam kamar mandi, suami merenung saya lagi.

"Ayang selsema ke menangis? Cakap betul-betul dengan abang. Tak baik tipu suami tau." Mata suami tepat di anak mata. Saya kalihkan pandangan. Diam dan bisu.

Ini jawapan untuk abang.
'Selsema ke menangis?'
Sebenarnya memang Ayang menangis. Petang itu Ayang rasa begitu sayu. Hari pertama menjalankan tugasan selepas cuti sempena Aidilfitri. Aidilfitri pertama Ayang tidak bersama keluarga di kampung. Bagaimana kuat pun Ayang, Ayang tak mampu untuk menipu perasaan. Sepanjang hari di tempat kerja, teman-teman asyik bertanya.

"Balik kampung?"
"Kenapa tak balik? Mesti mak kau tunggu. Dahla anak sulung."
"Teruknya. Takkan la tak balik langsung. Cuti kan lama."

Semua itu saya hanya balas dengan senyuman. Apalagi yang saya mampu buat. Jauh di lubuk hati, andai ada kebaikan yang saya lakukan sepanjang hari ini saya hadiahkan buat Mama. Setiap hari saya doakan agar Mama redha dan ikhlas menerima tindakan dan keputusan yang saya ambil. Mengikut hukumnya, mungkin saya benar dan patuh mengikut perintah suami.  Thumbs up untuk Mama kerana berjaya mendidik seorang anak untuk menjadi isteri yang taat kepada suami selagi tidak bercanggah syariat. Tetapi hakikatnya agak perit untuk diterima. Papa, Mama dan adik-adik. Angah menangis di corong telefon di pagi 1 Syawal. Apa yang mampu Along lakukan di saat itu? Sekadar mendengar dan mendengar. Di hujung talian, saya hanya mampu berkata, "Along minta maaf."

Saya juga menangis. Menangis kerana takut teman-teman berfikiran yang bukan-bukan terhadap suami. Suami saya sangat memahami dan menyayangi saya. Bukan suami yang tidak membenarkan tetapi keadaan.

Beberapa hari sebelum raya, saya agak berlapang dada. Setelah dipujuk, harapan saya untuk pulang ke kampung pada hari raya ke 4 atau ke 5 nampak semakin cerah sehinggalah tibanya hari raya ke 4. Di rumah nenek di Batu Pahat. Hari itu perancangan untuk beraya ke Muar. Seperti biasa saya akan mengikuti rombongan. Tiada canggah dan sanggah. Tetapi hari ini, suami memohon untuk kami tidak turut serta.

"Macam mana plan kita, Abang?" Saya bertanya. Teruja. Suami baru menjejak masuk ke kamar kami di rumah nenek.

"Kita ikut rombongan. Raya Haji kita balik ye. Nanti Abang belikan tiket flight."

SubhanalLah! Hati saya menangis, mengongoi sendiri. Mengapa? Bukan hari raya kedua yang saya minta, cukuplah sekadar di hujung raya ke 5. Saya terus diam. Tetapi hati saya terus menangis dan menangis. Siapalah saya untuk bersoal jawab tentang keputusan itu. Perempuan, isteri, ibu dan ...

'Kalau nak balik sana, tak payah balik raya sini langsung lepas ni.' Titik. Suatu keputusan yang tiada siapa pun bisa menyanggah. Baik suami saya.

Abang, sedihnya hati Ayang. Sayunya jiwa. Tapi tak terucap dek kata.

Hari raya ke 7. Accident. Emergency break. Suami saya tertabrak Toyota Camry berdekatan Summit Batu Pahat. Mus'ab hampir terjatuh ke tempat letak kaki belakang. Sempat saya memegang kakinya sebelum mencecah pelapik kaki. Suami segera keluar. Tangisan Mus'ab memenuhi ruang Myvi kami. Segenap tubuhnya saya periksa. Takut-takut ada yang tercedera. Tiada. Alhamdulillah. Terkejut agaknya.

Sambil menatap Mus'ab, hati saya berbicara sendiri. Setiap yang berlaku, pasti ada sebabnya. Apakah Allah ingin memberi teguran kepada saya? Andai teguran buat saya, saya sedar saya agak berkecil hati dengan suami atas keputusannya. Saya mengeluh sebab suami saya tak mampu membuat keputusan sendiri. Tidak seperti abangnya dan adik-adiknya yang lain. Ya Allah, betapa aku tidak mensyukuri nikmat kurniaanMu kepadaku, seorang suami yang sangat baik dan patuh kepada ibu bapanya. Abang, Ayang mohon maaf.

Suamiku, sempena Syawal yang masih berbaki, seribu kemaafan dan keampunan kupohon atas keterlanjuran hati, kata dan tindakan. Sesungguhnya kau hadiah Allah yang terbaik dalam hidupku.


Friday 10 August 2012

Novel: Fatimah Amna


"Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat." (Riwayat Ahmad)

Apakah dia tidak bijak dalam memilih teman? Apakah wajar keluhan yang terluah setelah lebih 10 tahun dia berteman dengannya? Semalaman hati Amna bingung dan resah. Mengapa begitu mudah temannya mengambil keputusan sedrastik itu? Dialah teman yang paling dekat dengannya sejak di bangku sekolah rendah. Malam ini Amna benar-benar berasa jauh hati. Seakan bisa tembus siling batu yang ditenung di perbaringan. Bukankah sahabat itu cerminan diri kita sendiri?

Betapa dia begitu mencemburui temannya itu sejak kecil. Punya keluarga yang lengkap, lagi baik didikan agamanya. Abahnya seorang kakitangan kerajaan yang hampir lima waktu solatnya dikerjakan di masjid. Mamanya, guru pertama yang Amna temui dan kenali sewaktu menginjak usia tujuh tahun. Hari pertama di sebuah sekolah rendah yang jauh di pelusuk negeri. Mereka memang bukan seperti anak-anak kota yang membesar dalam hiruk-pikuk kesesakan besi di jalanan dan kemaruk pembangunan konkrit di celah kemelut susuk-susuk manusia.

Mereka anak kampung. Sama-sama membesar di lecak sawah bersama keli-keli sebesar labu betis. Berlari ke tempat mengaji di atas denai, sempadan tapak sawah selebar tapak kaki. Terkadang terceplos kaki dalam selut, habis bercapuk kain baju kurung. Cepat-cepat si Siti dan Ija terjun membantu. Ketawa besarlah si Hadi Gemuk dan Imran Keling menyaksikan gelagat mereka bertiga. Gelaran waktu kecil-kecil dulu. Kedengaran seolah-olah mengejek, tetapi itu yang mengerat. Persahabatan zaman kanak-kanak. Penuh tawa dan riang. Tiada apa yang membimbangkan hati dan memberatkan fikiran. Pagi berbasikal ke sekolah, pulang berlari ke tempat mengaji. Petang bermain lagi. Puas bermain pasti nenek sudah bercekak pinggang di muka pintu. Indahnya waktu itu. Terkadang Amna rindu pada hanyirnya bau lecak, pada tengiknya bau peluh teman-teman sepermainan, pada harumnya rambut nenek seusai bersiram di pagi hari.

Hari ini, Hadi Gemuk sudah tidak gemuk lagi. Imran Keling? Memang tidak akan cerah lagi, tetapi sudah hilang gelaran Keling itu. Masing-masing sudah besar. Masing-masing sudah ada jalan hidup sendiri. Sudah tidak bermain bersama. Sudah jarang bersua. Sudah tahu adab dan sempadan dalam perhubungan. Cuma tinggal Amna, Siti dan Ija yang masih rapat. Terus berhubung biar masing-masing berada di menara yang berbeda. Lain bidangnya, lain minatnya. Nenek, cuma nenek yang masih sama wangian rambutnya. Kemas dililit daun pandan.

Amna tersenyum dalam tangis. Senyum teringatkan kenangan zaman kanak-kanaknya. Menangis hatinya mengenangkan teman yang tidak mampu melawan dusta dunia.

'Mengapa jalan itu yang kau pilih?' Hatinya merintih sendiri.

"Amna,kalau aku khabarkan pada kau, pasti kau tidak percaya. Aku ternampak Siti di Kuala Lumpur. Dia sudah tidak bertudung."

Suatu masa Imran menghubunginya, menceritakan pengalaman matanya. Tetapi Amna masih tidak percaya. Katanya pasti pandangan Imran tersalah. Orang lain mungkin. Amna bukan jenis orang yang terima sekonyong-konyong pendapat tanpa bukti yang nyata. Amna bilang, kalau kata-kata Imran tidak benar, itu fitnah. Dan yang pasti fitnah itu lebih buruk dari membunuh.

"Tahukah kau berdosa memfitnah wanita-wanita muslimah, lebih-lebih lagi dia sahabat kita yang baik Imran?" Amna pantas mencantas cerita Imran.

"Nah, aku sudah bisa menebak. Itu pasti jawabmu, Amna. Kau memang ustazah dari kecil. Sudah tentu aku tahu dosa pahala. Tidak mengapalah, andai mataku yang tersasar pandangan, aku mohon maaf. Tapi andainya mataku tepat, besar tanggungjawab kita Amna. Dia teman kita." Imran menoktah bicara sebelum memberi salam di hujung talian.

Tut tut..
Talian putus.

Itu cerita tahun lalu. Tetapi siang tadi mata Amna terkaku, hatinya bagai ditampar saat melihat temannya itu di laman muka buku. Benar tepat pandangan Imran. Siti sudah tidak berhijab. Cantik. Memang sejak kecil Siti memang yang tercantik antara mereka bertiga. Mulus kulitnya, kecil molek orangnya.
'Sayangnya kau curangi nikmat kecantikan yang dikurnia Allah, temanku.' Getus hati Amna.

Terngiang-ngiang suara Imran di corong telefon tahun lalu,
"...Tapi andainya mataku tepat, besar tanggungjawab kita Amna. Dia teman kita."

Itu tahun lalu. Selepas menerima panggilan dari Imran, Amna ada ketemu Siti dan Ija menghabiskan cuti semester bersama. Tiada yang luar biasa. Siti masih Siti yang sama. Bertudung, biarpun berkemeja dan berseluar denim. Memang itu rutin mereka bertiga. Setiap kali cuti semester, pasti ada saja aktiviti mereka. Jarang ada di rumah. Apa tidaknya, mereka cuma bertemu sekejap waktu. Apabila kuliah bermula, masing-masing akan kembali ke pusat pengajian yang berbeza bagi meneruskan jihad yang belum sudah.

“Ke mana saja kau Ija? Cuti-cuti ini ada saja kerja kau. Bukannya lagi di rumah, membantu Mak.” Emak Ija bersyarah.

“Ija keluar dengan Amna dan Siti. Bukan lama Mak. Cuma 3 hari. Si Siti tu kuliahnya lambat cuti. Tak sama Ija dan Amna.”

Memang tempat pengajian Siti punya jadual cuti yang berbeza berbanding Amna dan Ija. Jadi di kesempatan masa yang ada itulah mereka bertiga bagaikan belangkas. Ke mana sahaja pasti bertiga. Terkadang sampai tertidur di rumah Amna. Terlalu banyak yang ingin diceritakan. Perkembangan terkini, pelajaran, kasih dan kekasih. Perbincangan biasa bagi remaja biasa seperti mereka. Keseronokan dalam hilai tawa teman-temannya menyebabkan Amna terus mengabaikan pengucapan yang disampaikan Imran. Amna sangat yakin, Imran pasti tersalah lihat. Apatah lagi di celah-celah kota metropolitan yang dibanjiri pelbagai jenis manusia, sudah tentu ada pelanduk dua serupa. Kata orang tua-tua, di dunia ini punya tujuh orang dengan rupa paras yang sama.

‘Mengarut saja si Imran ni!’ Getus hati Amna.

Amna tersenyum melihat Siti dan Ija yang tertidur kepenatan. Foto-foto zaman persekolahan bergelimpangan di lantai kayu rumah Nenek. Jam sudah berdering. 6.00 pagi. Suara kokok si ayam jantan sayup-sayup kedengaran. Dalam kantuknya, Amna mengejutkan teman-teman untuk mengerjakan solat Subuh sambil menyusun kembali foto ke dalam album. Nenek pasti sudah lama bangkit. Memang kebiasaan Nenek berpagi-pagi. Kata Nenek, di usia senja kini,dia tidak boleh lagi tidur terlalu lama. Rugi.

“Rugi? Kenapa Nek? Kan best tidur lama-lama!” Amna pantas memangkah Nenek. Pipi bulat Amna menjadi mangsa cubitan tangan tua Nenek.

“Rugi sebab umur Nenek dah banyak. Bila umur dah banyak, maksudnya masa untuk Nenek tambah bekalan Nenek di akhirat nanti sudah semakin kurang. Kan Rasulullah SAW ada berpesan, apabila meninggalnya anak Adam itu, dia meninggalkan tiga perkara; anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah. Nenek dah hilang bekalan yang pertama. Jadi Nenek kena tambah yang lain-lainnya. Faham cucu Nenek?” Nenek gosok kepala Amna kuat-kuat. Mata Amna berkaca. Amna peluk Nenek.

“Tapi Nenek ada Amna. Amna ada ilmu yang Nenek bekalkan. InsyaAllah, Amna akan gunakan sebaik mungkin dan akan ajarkan pula pada orang lain. Kalau ada yang tanya siapa yang ajar Amna, Amna akan beritahu mereka, Nenek yang ajar.”

Nenek. Segala-galanya terimbas cantik mengikut kenangan Amna cuti semester yang lalu. Seolah-olah ada video yag sedang dimainkan di dalam benaknya. Malam ini Amna tidak bisa memfokuskan minda terhadap kerja-kerja kuliah. Nenek, Siti, Ija dan Imran bersilih ganti menjenguk danau pemikirannya. Dia larut dalam kebingungan dan keresahan. Entah jam berapa dia terlena malam itu. Dia pun tak pasti. Yang pasti lenanya dibuai permasalahan teman baiknya sendiri.

Tuesday 7 August 2012

Kembali ke Pelukan Mama..

Hujung minggu lepas saya, suami dan Mus'ab berangkat pulang ke negeri tanah tumpah darah saya. Jauh di pantai timur sana. Sudah hampir sebulan tiket ditempah secara atas talian. Saya memang benar-benar berhajat untuk pulang. Lebih-lebih lagi tahun ini giliran beraya di rumah suami. Inilah kali pertama saya tidak akan beraya bersama Mama, Papa dan adik-adik. Hanya Allah yang tahu perasaan ini. Malam 1 Ramadhan menyaksikan betapa saya rindukan Mama. Sayu hati mengingatkan susuk tubuh yang sudah 27 tahun membesarkan kami adik-beradik. Air mata saya mengalir laju seusai solat Maghrib. Siangnya saya sudah menghubungi Mama, memohon kemaafan sempena hadirnya Ramadhan Karim pada tahun ini.


Setiap kali  menelefon (memang setiap hari saya akan cuba untuk telefon Mama) Mama pasti bertanya soalan yang serupa.

"Betul Along tak balik raya tahun ni? Tak meriahlah raya Mama tahun ni."
Allahu Akbar, runtun hati seorang anak mendengar suara Mama di hujung telefon. Biar beratus kali sudah saya maklumkan saya tidak akan beraya bersama pada tahun ini, beribu kali Mama tetap akan bertanya. Kadang-kadang, terkeluar keluhan berat dari mulutnya.

"Itulah dah kahwin dengan orang jauh, nak buat macam mana lagi..."
Maafkan Along, Mama. InsyaAllah, tahun hadapan kita beraya bersama. Along mohon Mama redha dengan jodoh Along.


'Ya Allah, semoga Mama ampunkan segala dosaku dan menghalalkan segala usahanya membesarkanku. Ya Allah, kurniakan dia kesihatan yang baik agar dapat beribadah dengan tenang sepanjang Ramadhan kali ini. Semoga dia sempat menemui Ramadhan lagi pada tahun hadapan.'

Saya menyusun bait kata terindah untuk memujuk suami agar bisa kembali menemui Mama. Alhamdulillah, suami saya memang tidak membantah. Tiket ditempah sejumlah hampir RM 1k, pergi dan balik. Biar berhabis wang, asalkan saya tidak berhabis kasih buat Mama.

Perasaan untuk pulang membuak-buak apabila adik-adik saya menceritakan keluhan Mama tatkala mendengar perkembangan Mus'ab, Mus'ab sudah pandai itu, sudah pandai ini. Apatah lagi menyaksikan foto keletah Mus'ab di laman muka buku. Kata mereka, air mata Mama pasti bergenang sewaktu bercerita tentang cucunya nan seorang ini.

"Mesti bila balik sini, Mus'ab dah pandai lari kan..?" Kata Mama sambil menggosok mata yang tidak gatal beberapa hari sebelum saya pulang ke kampung. Mama memang tidak tahu akan kepulangan saya pada hujung minggu itu.

Adik-adik saya yang nakal ketawa kecil. Merekalah yang membantu saya dalam merancang kepulangan rahsia kami. Oops, bukan adik-adik sahaja, Papa pun turut berkomplot dengan kami. Sengaja buat 'surprise' untuk Mama. Kalau Papa tak ada, siapa yang akan jemput kami di lapangan terbang nanti. Masing-masing ada tugasan. Angah sibuk mencari dan mengatur tempat berbuka yang berdekatan dengan lapangan terbang. Segala alasan diberi untuk memastikan rahsia tersimpan utuh. Hanya Achik yang selalu terbocor mulutnya. Geram betul Kakak. Saya pun pelik bagaimana rahsia kami boleh sampai ke telinga Achik. Tapi itulah adik-adik saya. Pelbagai ragam dan kerenahnya. Baru 3 orang yang disebut, ada lagi 3 orang.

Alhamdulillah, perancangan kami berjalan lancar. Dengan alasan keluar mengambil 'hamper' daripada ofis, Papa dan Angah keluar menjemput kami. Memang besar 'hamper' buat Mama hari ini. Sesampai di tempat berbuka, Angah terus membawa   'hamper'  besar ke tempat Mama.

"Inilah  'hamper' Mama!"
Mama terus bangkit dari tempat duduknya menyambut Mus'ab. Ketawa besar kami sekeluarga. Lupa pada mata-mata di sekitar yang turut berbuka di tempat yang sama.

"Patutlah Achik asyik tersasul saja." Mama bersuara girang.

Kan betul? Achik memang susah nak simpan rahsia. Lebih-lebih lagi dengan Mama. Tak mengapalah. Yang penting kami selamat sampai, Alhamdulillah. Ada 2 malam lagi untuk saya berbuka dengan juadah air tangan Mama. Tak sabar rasanya.

Ada suatu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan sewaktu pulang kali ini. Sedang saya asyik berbaring menyusukan Mus'ab, Mama datang berbaring dan memeluk saya dari belakang dengan erat.

Kata Mama, "Ini anak TokMa tau Mus'ab.."
Ada sendu dalam kata. Mama mencium rambut saya. Tangan Mama yang merangkul pinggang, saya genggam. Kuat dan kejap. Saya tahu bukan cuma Along yang rindukan Mama, tapi Mama pun begitu. Saya ialah satu-satunya anak Mama yang akan tidur ditemani Mama setiap kali pulang bercuti ke kampung sejak saya berusia 13 tahun. Budak kecil yang hidup dan membesar di asrama sebuah sekolah di selatan tanah air. Timur ke Selatan. Jauh bukan? Tapi itulah hakikatnya. Sudah tentu malam-malam saya bertemankan air mata. Untung ada cuti sekolah, itulah sekadar waktu untuk saya ketemu Mama, Papa dan adik-adik. Sudah pasti kala ini Mama merindui saat-saat itu.

Terngiang-ngiang ucapan Mama yang kadang terbit di bibir, "Itulah..Along kahwin cepat sangat.."
Saya sekadar tersenyum. Sudah sampai jodoh Along Mama. Lagipun, tidaklah terlalu cepat pernikahan di usia 25 tahun. Cuma mungkin Mama belum puas bermanja, atau Mama masih rasakan anaknya kecil seperti dahulu. Percayalah Mama, kalau Mama belum puas bermanja, anak ini lebih rasakan kerinduannya.

Hari ini 8 Ogos, hari lahir Mama yang ke 51. Buat Mama yang tersayang, tiada harga terbanding dengan nilai kasihmu. Tiada doa yang lebih mustajab dari doamu. Tiada wanita tercantik dalam lubuk hati,selainmu. Tiada kata seindah bahasa untuk kupuji dirimu.

Terima kasih, Mama. Kusyukuri nikmatMU Ya Allah.


Monday 6 August 2012

Pilihan Yang Berat..


Sudah hampir empat minggu saya berulang-alik dari rumah mertua ke tempat kerja. Itu memang pilihan saya buat sementara ini. Kadang-kadang saya pun tidak pasti apakah pilihan saya tepat. Perjalanan yang sejauh 110 kilometer pergi dan balik sudah tentu memenatkan fizikal dan mental saya. Sejak pengasuh Mus'ab dimasukkan ke hospital akibat kekurangan darah seminggu sebelum Ramadhan, Mus'ab dijaga sepenuhnya oleh nenek.

"Ayang larat ke?" Suami saya bertanya dengan penuh perhatian beberapa hari sebelum Ramadhan.

“Insya Allah, setakat ni okay lagi Alhamdulillah. Kita tengoklah minggu pertama Ramadhan ni.” Saya membalas. Senyum.

Suami saya memandang tepat ke mata saya. Kasihan barangkali. Saya mengalihkan pandangan sambil tangan pantas mengemaskan beg kerja. Kalau saya terus memandang wajahnya, air mata saya pasti berderai. Baru lebih kurang 10 minit saya sampai ke rumah dari tempat kerja. Susu-susu Mus’ab yang dipam di tempat kerja tadi perlu cepat-cepat dimasukkan ke dalam peti ais. Alhamdulillah, rezeki Mus’ab lebih kurang 12 oz susu berjaya dipam.

Sepanjang petang kepala saya ligat berfikir. Saya perlu membuat pilihan yang terbaik. Tinggal di rumah mertua atau berhampiran tempat kerja?

Kepada siapakah harus saya sandarkan pemilihan ini? Diri sendiri, suami, anak, mertua, pembantu rumah?

“Kalau kau duduk sini kan senang, kau tak payah susah-susah masak, cuci lipat kain baju, kemas rumah. Semua pembantu ibu yang buat. Mus’ab pun dia yang uruskan. Sekurang-kurangnya kau boleh tambah pendapatan dia.” Ibu menyampaikan alasan yang agak kukuh untuk saya terus tinggal di situ.

“Cuma mungkin penatlah sikit ulang-alik.” Ibu menambah. Mungkin melihatkan saya cuma diam dan mengangguk. Terkadang berselang senyum.


‘Ya Allah, berikanlah hambamu yang hina ini petunjuk. Kerana hanya Engkaulah yang Maha Mengetahui segala perkara yang tidak hamba ketahui. Berilah hamba kekuatan untuk bangkit mengadu dan mengaduh padaMU dalam istikharahku.’

Saya perlu bercerita dan bertanya pada Allah agar setiap keputusan berpandu iman pasti diredhai akal dan hati. Andai cuma berpandu akal, nafsu pasti cuba menguasai. Maka iman dan hati menyanggah dan menyangkal. Ikut bicara akal dan nafsu pasti diri yang diikuti, ikut detik hati pasti suami dan anak didahului, ikut nakhoda iman pastu semua faktor diambil kira dan diadili.

Andai diri jadi sandaran, akal berkata fizikal dan mental kepenatan. Bukan dekat perjalanan saya seharian. 110 kilometer perjalanan pergi dan balik. Kepanasan memandu di bawah terik mentari di dalam bulan Ramadhan pasti cukup untuk melelahkan diri, menyakitkan kepala dan melayan kantuk di kelopak mata. Setibanya, di rumah, pasti saya tidak dapat merehatkan diri sebagaimana rehat di rumah sendiri. Petangnya mesti di dapur membantu apa yang patut. Malamnya seusai berbuka mesti menguruskan anak dan segala keperluan tempat kerja. Tidur paginya pasti terganggu dek ‘nature call’ Mus’ab. Kesimpulannya, tiada yang menyebelahi diri.

Astaghfirullah.. Saya beristighfar panjang. Itu semua pandangan yang mementingkan diri saya semata-mata. Pandangan yang menambahkan beban di pundak saya sahaja. Saya perlu banyak mengoreksi diri.

Suami? Andai saya berkeputusan untuk tinggal berhampiran dengan tempat kerja, maka perjalanan suami saya sejauh 140 kilometer pergi dan balik setiap hari. Waktu malamnya juga tidak tentu. Setiap kali Mus’ab merengek, setiap kali itu juga suami saya turut bangkit menemani saya menyusukan dan membantu menukar lampin Mus’ab yang kebasahan. Pasti perjalanan seawal paginya, sesudah subuh mengundang kantuk yang amat. Sedang perjalanannya masih jauh lagi. Sesungguhnya saya tidak sanggup.

‘Ya Allah beri aku kekuatan di bulan RamadhanMu yang Mulia lagi Diberkati.’

Baru tadi saya mendengar kuliah zohor di IKIM oleh ustaz yang suka saya gelarkan Ustaz Tuan Padang. Kata beliau, kita semua terlalu dibesar-besarkan tentang Peristiwa Nuzul Quran pada 17 Ramadhan. Tetapi kita jangan lupa bahawa peperangan Badar juga turut berlaku pada 17 Ramadhan. Bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat menghadapi peperangan di padang pasir yang panas terik sedang mereka semua berpuasa? Maka beliau mengajak agar muslimin dan muslimat mengambil semangat ini untuk meningkatkan lagi potensi diri dan kerja, bukan mengambil peluang untuk membuat acuh tidak acuh terhadap segala urusan. Dengan alasan penat berpuasa.

Kisah itu benar-benar terkesan di hati saya. Pasti iman tersenyum dengan persetujuan hati. Maka akal saya terpaksa menurut. Apa salahnya saya mengalah? Mengalah bukan bermakna kalah. Mengalah kerana kepentingan bersama. Dan pada hari ke 18 Ramadhan ini, saya masih kuat untuk meneruskan pemanduan saya sejauh 110 kilometer setiap hari. Saya mohon agar suami, Mama dan Papa doakan keselamatan dan kesihatan buat saya.

'Sesungguhnya Allah pasti memudahkan jalan orang-orang yang mempermudahkan jalan orang lain.' Saya sedaya upaya cuba menyejukkan hati, mempositifkan diri.

Buat suami yang tercinta, saya mohon ampun kerana saya tidak mampu untuk menyediakan juadah hasil air tangan sendiri seperti isteri yang lain, untuk menyiapkan pakaian kerjanya seperti isteri yang lain. Yang pasti, saya merindui semua itu kerana saat saya meneruskan tulisan ini air mata saya tumpah membasahi bumi.

'Astaghfirullah, lemahnya imanku..'

Thursday 2 August 2012

Bila Harus Memilih..Iman atau Akal?


Sukarnya untuk membuat pilihan. Tetapi mahu tidak mahu, kita tetap perlu memilih untuk meneruskan perjuangan hidup. Fitrahnya, setiap detik kita perlu membuat pilihan. Memilih untuk bangkit awal atau melayan kantuk, solat Subuh atau mandi terlebih dahulu. Pasti anda semua mengalaminya bukan? Cuma mungkin terlalu remeh dan picisan untuk dibesar-besarkan. Lebih-lebih lagi ia sememangnya rutin harian kita.

Sejujurnya saya katakan, sejak saya bernikah dengan suami, terlalu banyak pilihan yang telah saya lakukan. Mahu tidak mahu, saya cuba sedaya upaya untuk redha dan mengikhlaskan diri. Dan selebihnya saya serahkan pada Yang Maha Menentukan. Sesungguhnya kita hanyalah hamba yang lemah, yang hanya mampu berusaha sedaya yang mampu dan bertawakal padaNya. Benarlah kata orang, pernikahan bukan sekadar menghalalkan suatu perhubungan, tetapi mengcakupi seluruh kehidupan dan masa depan seorang hamba. 

Sudah hampir 2 tahun saya bergelar isteri. Saya akui saya bukan seorang isteri yang begitu hebat buat suami saya. Terlalu banyak kelemahan diri yang perlu saya perbaiki. Terlalu banyak keciciran akhlak yang perlu saya perbetulkan. Terlalu banyak kelompangan ibadah yang perlu saya perelokkan. Oleh itu, saban hari saya panjatkan doa semoga suami saya menerima saya seadanya. Semoga dia sudi menjadi pembimbing dan pemimpin saya. Bukankah lelaki itu perlu bijaksana dalam menangani seorang wanita. Saya masih ingat lagi bait sajak yang dihadiahkan seorang sepupu sewaktu saya masih di bangku sekolah menengah.

Wanita : Akal Senipis Rambutnya
Jangankan lelaki biasa, nabi pun terasa sunyi tanpa wanita.
Tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah.
Masih mencari walau ada segalanya.
Apa yang tiada dalam syurga?
Namun adam tetap rindukan hawa.

Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok.
Untuk diluruskan oleh lelaki.
Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus,
Mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjuk oleh Allah,
Kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah.
Didiklah mereka dengan panduan darinya.
Jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta, kerana nantinya mereka semakin liar.
Janganlah hiburkan mereka dengan kecantikan, kerana nantinya mereka akan semakin derita.
Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal. Di situlah punca kekuatan dunia.

Akal senipis rambutnya, tebalkanlah ia dengan ilmu.
Hati serapuh kaca, kuatkanlah ia dengan iman...
Perasaan selembut sutera, hiasilah ia dengan akhlak.

Suburkanlah ia kerana dari situlah nantinya...
Mereka akan lihat nilaian dan keadilan Rab...
Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan..
Ia bukan diskriminasi Allah... sebaliknya di situlah kasih dan sayang Allah...

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya...
Pasti tidak akan terhibur, dan tidak akan menghiburkan...
Tanpa iman, ilmu dan akhlak..mereka tidak akan lurus...
Bahkan akan semakin membengkok...
Itulah hakikatnya andai wanita tidak kenal Rabbnya...

Bila wanita menjadi derhaka... pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara....
Lelaki pula janganlah mengharapkan ketaatan semata-mata...
Tapi binalah kepimpinan...
Pastikan sebelum wanita menuju ilahi, pimpinlah diri kepadanya...
Jinakkan diri kepada allah...
Nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinanmu...
Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra'
Seandainya dirimu tidak sehebat saidina Ali karamallahuwajhah

Sajak ini benar-benar menusuk ke hati saya, seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah berasrama yang jauh di selatan tanah air. Mulai saat itu, saban hari saya berdoa agar dikurniakan seorang suami yang soleh yang mampu memimpin saya ke jalan yang benar dan sentiasa mengingatkan saya agar tidak tersasar. Mungkin kedengaran agak janggal dan kelakar. Seorang budak perempuan berusia 15 tahun memohon pada Allah pada sesuatu yang masih jauh ke hadapan. Tetapi itulah saya. Saya tahu saya bukan dari kalangan keluarga yang tinggi pendidikan agamanya. Jadi, saya harus berusaha untuk mendapatkan sebuah keluarga yang mempunyai biah agama yang baik. Itu impian saya pada waktu itu.

Alhamdulillah, 10 tahun kemudian saya telah diijabkabulkan dengan seorang lelaki yang telah lama saya kenali tetapi tidak cintai. (Hari ini, dialah lelaki yang paling saya cintai selepas Allah dan Rasul) Itulah pilihan dan keputusan terbesar yang saya harus lakukan. Kenapa dia menjadi pilihan hati? Wahai suamiku, aku memilihmu kerana agamamu. Tatkala dia menyampaikan hajat, saya memohon agar diberi sedikit masa. Saya perlu bercerita pada Dia, saya perlu bertanya pada Dia. Saya takut. Sekali saya tersalah langkah, seumur hidup saya menanggung. Dia lelaki pertama yang begitu nekad dengan keputusan untuk meminang saya.

Saya bingung. Hati saya berbelah bahagi. Iman mengatakan ya, akal mengatakan tidak. Mengapa akal mengatakan tidak? Kerana sahabat saya begitu suka padanya. Sepanjang 4 tahun pengajian, saya hanya mengetahui cerita tentang dia dari seorang sahabat. Mengapa iman bersetuju? Jawapannya mudah, kerana tiada sebab syar’ie untuk menolak hajatnya. Saya menyoroti pesanan Rasulullah buat ibu-ibu dan bapa-bapa yang lebih kurang bermaksud, andainya datang padamu seorang lelaki yang baik akhlak dan imannya untuk meminang anakmu, janganlah ditolak.


“Nak kata dia tak cukup solat, dia AJK surau. Nak kata merokok, pun tak. Nak kata jahat, macam baik. Kalau ada sebab aku nak tolak dia pun sebab dia tak hensem!” Saya berjenaka dengan sahabat baik saya, Nur Aidil. Aidil ketawa terbahak-bahak. (Hari ini suami saya paling hensem dalam hati saya tau! Iras hero Hindustan lagi! HeHe..)

Aidil, sahabat paling banyak member sokongan sehingga saya tekad untuk bersetuju dengan iman, menolak pendapat akal. Terima kasih Aidil, Ummu Qistina.

Selepas diijabkabulkan, saya mula belajar mengenali bukan sahaja hati budinya, malah keluarganya. Alhamdulillah, terima kasih Allah atas kurniaanMu. Terasa doa-doa yang saya panjatkan 10 tahun yang lalu telah dikabulkan. Setiap saat saya memanjat kesyukuran atas segala nikmat yang diberikan. Dan setiap waktu saya memandang pada diri, merenung ke dalam hati, cuba memperbaiki diri hari demi hari.


‘Ya Allah, aku bersyukur di atas segala nikmat yang Kau limpahkan kepada kami. Maka ampunilah segala dosaku, dosa suamiku, dosa kedua ibu bapa kami, anak-anak kami, adik beradik kami dan orang-orang yang berada bersama kami. Tetapkanlah kami di atas jalanMu dan satukan hati-hati kami dalam agamaMu. Jadikan kami pewaris syurgaMu.’

Itulah sebait doa yang sentiasa terucap di bibir. Alhamdulillah, saya tidak tersalah pilihan.