Thursday 24 October 2013

Saat Lafaz Sakinah I

“Kahwin ni macam satu perjudian tau..kalau bahagia Alhamdulillah..kalau tak, selamatlah kau..”
“Betul tu..macam main judi, menang untung, kalah? Mulalah macam-macam kes jenayah.”
“Baik kau fikir betul-betul sebelum ambil keputusan. Kalau tak seumur kau menyesal..”

Sungguh menakutkan mendengar nasihat-nasihat daripada ‘pakar kehidupan’ seperti ini sebelum majlis yang penuh barakah dilangsungkan. Apakah nasihat sebegini yang diperlukan di saat kita ingin melaksanakan suatu ibadah kepada Allah? Confirm! Ramai yang akan menarik diri daripada menjalankan ibadah.

Pada Along,pernikahan bukan satu perjudian hidup seperti yang biasa diperkata orang, terutamanya dalam hidup seorang muslim. Pernikahan seorang muslim telah dipandu oleh alQuran dan asSunnah. Mustahil pernikahan itu sebuah perjudian seandainya seseorang muslim itu benar-benar mengikut panduan yang digariskan. Apakah garis panduan yang Along maksudkan?

Memang betul kata kakak di atas, “…fikir betul-betul sebelum ambil keputusan…”. Tetapi bagaimanakah cara dan apakah pedoman yang kita ambil sebelum dan semasa kita berfikir. Adakah dengan hanya menggunakan logik akal, kita berupaya menyelesaikan masalah yang bakal dan belum tentu timbul dalam pernikahan? Adakah dengan meletakkan semua Thinking Hats kita mampu mengatasi isu di masa hadapan? Atau dengan menjalankan analisis SWOT ke atas pasangan yang bakal menikah dapat mengelakkan penceraian?

Beruntungnya kita sebagai seorang muslim. Di kala bukan muslim jenuh mencari jalan penyelesaian terhadap masalah psikologi rumahtangga, kita ada penyelesaiannya. Kenapa Along mengatakan kita ada penyelesaiannya? Sebab kita ada Allah yang Maha Esa, kita ada Nabi Muhammad pemimpin dunia yang terhebat. Ada yang mengatakan penyelesaian yang bagaimana? Memang ia bukan penyelesaian secara fizikal dan khusus, tetapi penyelesaian yang menyeluruh selama mana kita sentiasa mengikut garis panduan yang diberikan. InsyaAllah, kita akan sentiasa dipimpin dan terpimpin.

Dan beruntungnya kita sebagai seorang muslim, seandainya kita tidak sempat memulakan sebuah pernikahan atau ibadah lain mengikut panduan syariat, akan sentiasa ada pertolongan di saat kita mula menyedari keberadaan Allah di sisi kita. Di kala itu kita tersenyum dalam tangis.

“Biar aku pernah lupa padaMu, alpa pada perintahMu, tidak pernah Kau biarkan aku sendirian.”

Berbalik kepada permulaan sebuah pernikahan tadi, berpandukan syariat. Along  tidak akan menghuraikan bab pemilihan calon, kerana Along yakin adik-adik Along tahu dan sedar akan pesanan Rasulullah yang sangat spesifik dan mudah difahami tentang kriteria pemilihan calon suami dan isteri. Apa yang Along cuba fahamkan di sini adalah proses selepas terpilihnya seorang calon baik lelaki mahupun perempuan. Bukan proses fizikal seperti membeli keperluan pernikahan, berapa wang hantarannya, berapa dulang berbalas dulang, warna tema untuk keluarga (belum masuk tema busana pengantin), lauk pauk (tetamu VIP, VVIP dsb), tetapi lebih kepada proses dalaman diri bakal pengantin, soal hati.

Soalnya hati, sukar di mengerti
Apa terjadi di luar kawalan diri

Lagu cerita Soal Hati lakonan Erra Fazira dan Afdlin Shauki suatu masa dulu.

Soal hati yang hanya akan ditanggung oleh bakal pengantin. Dan hanya seseorang yang benar-benar bersedia untuk bernikah secara fizikal dan mental akan merasainya sesuatu yang di luar kawalan diri itu.  Kita akan mula memikirkan natijah yang akan timbul setelah bernikah biarpun pasangan yang bakal dikahwini telah hampir 10 tahun dikenali.

“Dulu mase couple, boleh main break up. Kalau dah kahwin,takkan nak….”
“Dulu mase couple, boleh flirt, mesej-mesej ngn orang lain. Kalau dah kahwin …”
“Boleh ke dia ni bagi aku makan, makan dia pun aku yang bayar?”

Pelbagai persoalan yang akan timbul di akal dan membebankan hati kerana tiada jalan penyelesaian. Senyumlah. Bersyukurlah adik-adik Along kerana kita lahir sebagai seorang muslim. Jadi untuk mengurangkan bebanan hati dengan persoalan akal yang tiada jawapan, sebagai yang paling tua dalam keluarga, Along berpesan, sentiasalah SOLAT ISTIKHARAH.

“Istikharah Along? Buatnya nanti keluar muka orang lain, teruk kita Long. Cincin tanda dah hantar.”
“Istikharah kan untuk buat pilihan, ni kan dah ada yang terpilih?”

Itulah yang selalu difahami oleh adik-adik Along. Benar, apa yang kalian fahami memang tiada salahnya. Tetapi, tiada salahnya juga menambah sedikit pemahaman terhadap solat istikharah. Solat istikharah menunjukkan suatu kebergantungan yang tinggi terhadap Allah, baik dalam membuat pemilihan ataupun keputusan. Sebagai contoh, melaksanakan solat istikharah selepas membuat sesuatu keputusan ialah semata-mata bertujuan untuk membuat hati kita redha terhadap keputusan dan apa yang bakal berlaku selepas keputusan diambil, serta yakin bahawa keputusan tersebut dipandu oleh Allah. Maka, apa-apa yang berlaku selepasnya sama ada berupa nikmat atau ujian dari Allah, kita akan sentiasa bertawakkal dan ingat bahawa Allah sentiasa bersama kita.

(Dedikasi buat adik-adik Along 6061)