Tuesday 31 July 2012

Pernikahan Suatu Perjudian?


"Pernikahan suatu perjudian. Nasiblah dapat suami yang bagaimana. Kalau dapat yang baik, Alhamdulillah. Kalau dapat yang tak baik, nasiblah.." 


"Manalah kita tahu perangai dia macam tu. Masa berkawan dulu, nampak macam ok."


Masih terngiang suara seorang sahabat bercerita tentang masalah rumahtangga. Yang pasti masalah rumahtangga memang tak pernah berkesudahan selagi belum kembali kepada Yang Maha Pengasih. Kalau saya, saya klasifikasikan penceritaan sahabat tadi lebih kepada pasrah, bukannya redha. Seolah-olah tiada usaha yang dilakukan untuk mendapatkan pasangan yang terbaik dalam hidup. Main tangkap muat sahaja. Tetapi, mereka 'berkawan'. Pada pendapat saya, sepatutnya mereka lebih mengenali antara satu sama lain kalau sudah berkenalan di peringkat awal. 


Di mana silapnya? 


Pernikahan suatu perjudian. Istilah itu sudah cukup menunjukkan satu kesilapan di peringkat awal. Mengapa diberikan satu tanggapan negatif terhadap pernikahan yang begitu mulia? Bukankah pernikahan itu yang melengkapkan fitrah alam, khususnya manusia? Bagaimana untuk membina suatu keluarga yang produktif dilimpahi dengan sakinah, mawaddah dan rahmah seandainya di dalam minda kita telah disetkan pernikahan itu suatu perjudian hidup? Natijahnya, lahirlah suatu masyarakat yang langsung tidak menghargai institusi kekeluargaan. Dan yang lebih teruk lagi, ada yang sanggup tidak bernikah hanya kerana takut mendapat pasangan yang salah. Pada masa yang sama, kes kelahiran anak tidak sah taraf terus meningkat dan menular di kalangan masyarakat kita.


Bagaimana untuk mengatasinya? Bagaimana untuk mendapatkan pasangan yang tepat?


Saya suka untuk mengecilkan skop perbincangan kepada pucuk pangkalnya, iaitu individu itu sendiri. Logiknya, siapa kita untuk memastikan itulah orang yang tepat untuk kita. Jadi, siapa yang boleh kita andalkan? Siapa yang Maha Mengetahui dan Maha Merancang? Mestilah Allah SWT! Nah, di sini titik permulaannya. 


Wahai adik-adik yang budiman, (buat semua yang sudah tahu erti pernikahan walaupun masih bersekolah menengah)
Kembalilah pada Allah. Pertama, percayalah pada Allah akan janjiNya. Wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jadi lihat pada diri. Bagaimana harapan kita untuk pasangan? Kalau kita mahukan pasangan yang soleh, maka jadilah wanita yang solehah. Kalau kita mahukan suami yang cukup solatnya, maka cukupkan solatmu. Mudah bukan? 


Kedua, berceritalah pada Allah akan segala hajatmu. Bagaimana caranya, berceritalah padaNya dalam doamu saban waktu dan di mana sahaja kau berada adikku. Biarpun Allah pasti tahu apa yang kau fikirkan, Dia lebih suka jika hamba meminta padaNya. Maka mintalah dan terus meminta, kerana Allah rindu pada hamba yang meminta-minta. 


Ketiga, tanyalah pada Allah. Bagaimana nak bertanya pada Allah? Tanyalah dalam istikharahmu. Tanyalah Dia yang manakah pilihan yang terbaik. Si dia atau dia. Terima atau tidak. InsyaAllah, Allah pasti akan tunjukkan jalan yang terbaik. 


Dengan ini, pernikahan BUKAN lagi suatu perjudian. Kerana hati kita telah redha dan ikhlas dalam menerima sesiapa sahaja dalam hidup setelah bergantung harap sepenuhnya pada yang Maha Esa. Kita hanya merancang, Allah jualah Perancang yang terbaik.


InsyaAllah, nanti saya kongsikan cerita seorang sahabat tentang usahanya dalam mencari pasangan yang terbaik dalam hidupnya. 

Monday 30 July 2012

Ibu Mertua Ku..


Wahai hati dan akal..kuatkanlah diri untuk membahagiakan jiwa2 yang tersayang..kerana segalanya bermula di sini..~o Allah, bless all d luvly people around me.make them forgive my all weaknesses and wrongs..-ummu mus'ab


Itu status di FB saya malam tadi. Sebelum melelapkan mata ditemani Mus'ab yang telah lama dibuai lena, sempat saya menjengah FB di telefon Samsung W hadiah daripada suami tercinta sempena Hari Ibu yang pertama sebagai Ummu Mu'sab. Terlalu banyak yang saya fikirkan sebelum berbuka siang hari semalam. Perasaan bersalah berbaur gundah begitu menebal dalam diri hati saya. 

Apa taknya, sesampai saya di rumah lebih kurang jam 3.30 petang, saya terus meluru ke ruang kamar. Mengantuk yang amat sepanjang perjalanan dari tempat kerja pulang ke rumah. Entah berapa kali saya terlelap sepanjang perjalanan sejauh 55 kilometer itu. Alhamdulillah, segalanya masih selamat sehingga hari ini. Selama lebih kurang 10 hari Ramadhan saya berulang-alik sejauh 110 kilometer setiap hari pergi dan balik, hari inilah kali pertama saya terlelap di jalanan. Banyak kali pula tu. Untung tiada apa-apa yang ditakdirkan berlaku. Allah masih sayangkan saya. 

Berbalik kepada kes mengantuk saya tadi. Lebih teruk lagi, cuaca yang panas dan bahang mentari telah membuatkan kepala saya pening. Sudahnya saya terlelap sampai jam 6.30 petang. Bertambah indah tidur saya apabila Mus'ab menjadi bantal peluk saya. 6.30 petang?? Maksudnya saya dah terlambat untuk Asar dan lebih parah lagi, saya tak sempat nak membantu ibu di dapur! Betapa bersalahnya rasa hati saya. Saya bingkas bangun untuk tunaikan kewajipan pada yang Esa. Semerbak aroma Nasi Mandhi (sejenis nasi Arab) sewaktu saya melangkah ke bilik air utuk mengambil wudhuk. 

'Ya Allah, lembutkan dan lapangkan hati ibu mertuaku!' Tercetus sebait doa di hati saya. 

Benar hanya Allah yang tahu perasaan bersalah saya. Sudahlah menumpang di rumah mertua. Berbuka ibu yang sediakan. Sahur ibu yang siapkan. Saya? Makan saja. Tetapi Allah Maha Pemurah, dikurniakan saya seorang ibu mertua yang sangat baik, Alhamdulillah. Dan oleh kerana terlalu baik itu jugalah, perasaan bersalah saya semakin parah. Kebiasaannya, biarpun ibu yang sediakan segalanya, saya akan sentiasa ada di dapur untuk membantu apa yang mampu. Hari ini? Batang hidung menantu pun tak nampak. Sebab itulah tercatat status di atas pada FB saya malam tadi sekadar untuk meluahkan perasaan.

Jauh di sudut hati saya, saya berjanji, saya harus menebus segalanya. Saya harus menghilangkan perasaan bersalah yang menekan dalam diri. 


Seperti biasa, saya bangkit jam 4.30 pagi. Seusai membersihkan diri dan solat, saya bergegas ke dapur. Dengan harapan untuk membantu ibu menyediakan sahur dan melunaskan hutang perasaan bersalah yang masih menebal. Pintu bilik ibu sudah terkuak, pasti ibu sudah di dapur. Memang ibu sentiasa bangkit seawal jam 4 pagi. Itu rutin harian ibu. 

Tetapi kenapa dapur masih gelap?

Rupa-rupanya, ibu terlambat bangun. Alhamdulillah..Allah Maha Tahu. Allah Perancang Yang Maha Hebat. Saya berjaya menyiapkan sahur untuk keluarga suami pada pagi ini. Terima kasih Allah. Terima kasih ibu, ibu mertuaku.


Sunday 29 July 2012

Puasa Kecik-kecik Dulu?

Assalamualaikum waRahmatulLahi waBarakatuh..

Pagi-pagi 9 Ramadhan yang indah ini benar-benar hebat buat saya. Baru sebentar tadi saya mengulangi tanakan bubur nasi bersama karot buat Mus'ab kerana bubur nasi yang pertama kehangusan dek lamunan yang begitu panjang. 

'Bertuah Ummu Mus'ab ni,' kata ibu mertua.

Sejak dari sebelum subuh, tatkala tangan saya sibuk mencuci sisa-sisa sahur minda saya terus berputar. Menerawang jauh, mengimbas kembali setiap perjalanan hari di Ramadhan yang ke 27 tahun bagi saya. Yang pasti Ramadhan saban tahun saya rasakan semakin singkat. Lebih-lebih lagi Ramadhan kali ini. Sedar tak sedar sudah hampir masuk ke fasa kedua, fasa maghfirah. Semalam semasa dalam perjalanan ke Shah Alam untuk iftar bersama adinda, saya melontarkan isi di benak.


"Sekejap je puasa dah hari ke lapan kan, bang."
"Yelah, abang pun rasa sangat cepat sampai tahun ni mengaji rasa tak terkejar juzuk Quran." Suami saya meyokong penuh pendapat saya.


Saya diam sejenak. Tetapi kepala terus berputar mencari sesuatu. Mencari makna Ramadhan di usia 27 tahun. Suami saya terus memandu laju. Dalam kekhusyukan suami memandu ditemani alunan bacaan ayat suci Al Quran oleh Imam Masyari, akhirnya minda saya temui satu jawapan.


"Mungkin dulu-dulu mase kite kecik, kite rasa puasa terlalu panjang sebab kita puasa sekadar berpuasa. Hanya lapar dan penat yang dibesar-besarkan. Tapi hari ini, di kedewasaan kite, kite dah banyak belajar akan hikmahnya puasa itu sendiri. Maka hilanglah lapar dan penat. Yang ada, kite terus ingin mengejar Ramadhan sepanjang hari agar sempat melakukan amal-amal yang terbaik. Betul tak abang?"


Suami saya tersenyum lebar. Panjang huraian isterinya. 


"Betul tak bang?" Saya mendesak.
"Iye.."


Giliran saya pula yang tersenyum lebar. Suami saya memang pendengar yang baik. Terima kasih abang. 


'Bagaimana agaknya bila Mus'ab mula belajar berpuasa kan?' Soalan yang hanya tersebut di minda. Tetapi tak terluah di bibir. Biarkan anak yang sedang lena tidur di sisi membesar dengan bi'ah yang terbaik. Itu harapan seorang ibu yang kerdil di sisi Tuhan.







Saturday 28 July 2012

Thought of 9 Ramdhan

wahai diri dan hati yang indah, wahai adik dan kakak yang manis, wahai ibu dan puan yang cantik, peliharalah kecantikanmu sebaiknya. kecantikan yg menjadi anugerah terindah dr Maha Pencipta tanpa berkira-kira. dan yang pasti seisi dunia tahu bagaimana tidak berkira-kiranya wanita-wanita menjaga kecantikan. spa, facial, saloon dan sebagainya penuh setiap hujung minggu. itu semua demi menjaga anugerah dariNya.

tetapi, mengapa bumi dan alam masih menangis melihat kita, wahai wanita-wanita? kerana:
1. kita bertudung, tetapi masih belum cukup panjang.
2. kita berpakaian, tetapi masih belum cukup longgar.
3. kita berkasut, tetapi masih belum cukup cover kaki.

jadi hentikanlah tangisan dunia yang tua.sebab dunia dah terlalu tua untuk menongkat dosa kita.

Friday 27 July 2012

Malam ke7 Ramadhan Kareem..

Malam ni malam ke 7 Ramadhan tahun ni. Tiba-tiba rase rindu nak menulis. Baru tadi bercerita dengan ibu. Macam-macam yang cerita yang keluar. Bak kata suami saye, kalo menantu dah jumpe mak mertua punye la seronok berborak sampai orang sekeliling pun xperasan. Ye ke? Mungkin kot. Hehe. Alhamdulillah dapat ibu mertua yang lebih kurang kepalanya.

Tahun ni dah masuk tahun ke 2 berpuasa bersama family suami. Memang saye dan suami duduk sebumbung dengan keluarga sebelah suami. Selalunya apabila saye mengatakan yang saye tinggal bersama keluarga suami, soalan yang biasa didengar adalah;

"Hm..suami anak sulong ke?"
"Bapak mertua dah takde ke?"
"Mak mertua sakit ke?"

Jawapannya, D. Bukan Semua Di Atas.

Hehe. Suami saye anak kedua. Alhamdulillah ayah mertua masih sihat dan ibu mertua pun sihat. Tapi biasela kalau sakit sikit-sikit.

Tapi, bile saye jawab, "Bukan semua di atas." mereka-mereka akan bertanya lain pulak;

"Hm..tak susah ke duduk dengan mertua?"
"Bahaya tau. Mula-mula wangi la, lama-lama busuk pulak. Tak takut ke?"

1001 macam persoalan dan percanggahan akan timbul kan? Belum lagi saye cerita tentang pekerjaan saye dan lain-lain. Sememangnya mulut manusia memang sukar ditutup. Yang penting kawalan kendiri berdasarkan iman yang kerdil.

InsyaAllah,nanti saye ceritakan hari-hari si kerdil ini (sebagai isteri, anak, menantu, ummu mus'ab, kakak, ipar, biras dan ...) Banyak betul jawatan saye.

It's almost 1.30 am. There's loads of things to be done before this Monday. Nite.