“Kahwin ni macam satu perjudian tau..kalau bahagia
Alhamdulillah..kalau tak, selamatlah kau..”
“Betul tu..macam main judi, menang untung, kalah? Mulalah
macam-macam kes jenayah.”
“Baik kau fikir betul-betul sebelum ambil keputusan. Kalau tak
seumur kau menyesal..”
Sungguh menakutkan mendengar nasihat-nasihat daripada ‘pakar
kehidupan’ seperti ini sebelum majlis yang penuh barakah dilangsungkan. Apakah nasihat
sebegini yang diperlukan di saat kita ingin melaksanakan suatu ibadah kepada
Allah? Confirm! Ramai yang akan menarik diri daripada menjalankan ibadah.
Pada Along,pernikahan bukan satu perjudian hidup seperti
yang biasa diperkata orang, terutamanya dalam hidup seorang muslim. Pernikahan seorang
muslim telah dipandu oleh alQuran dan asSunnah. Mustahil pernikahan itu sebuah
perjudian seandainya seseorang muslim itu benar-benar mengikut panduan yang
digariskan. Apakah garis panduan yang Along maksudkan?
Memang betul kata kakak di atas, “…fikir betul-betul sebelum
ambil keputusan…”. Tetapi bagaimanakah cara dan apakah pedoman yang kita ambil
sebelum dan semasa kita berfikir. Adakah dengan hanya menggunakan logik akal,
kita berupaya menyelesaikan masalah yang bakal dan belum tentu timbul dalam
pernikahan? Adakah dengan meletakkan semua Thinking Hats kita mampu mengatasi
isu di masa hadapan? Atau dengan menjalankan analisis SWOT ke atas pasangan
yang bakal menikah dapat mengelakkan penceraian?
Beruntungnya kita sebagai seorang muslim. Di kala bukan
muslim jenuh mencari jalan penyelesaian terhadap masalah psikologi rumahtangga,
kita ada penyelesaiannya. Kenapa Along mengatakan kita ada penyelesaiannya? Sebab
kita ada Allah yang Maha Esa, kita ada Nabi Muhammad pemimpin dunia yang
terhebat. Ada yang mengatakan penyelesaian yang bagaimana? Memang ia bukan
penyelesaian secara fizikal dan khusus, tetapi penyelesaian yang menyeluruh
selama mana kita sentiasa mengikut garis panduan yang diberikan. InsyaAllah, kita
akan sentiasa dipimpin dan terpimpin.
Dan beruntungnya kita sebagai seorang muslim, seandainya kita
tidak sempat memulakan sebuah pernikahan atau ibadah lain mengikut panduan
syariat, akan sentiasa ada pertolongan di saat kita mula menyedari keberadaan
Allah di sisi kita. Di kala itu kita tersenyum dalam tangis.
“Biar aku pernah lupa padaMu, alpa pada perintahMu, tidak
pernah Kau biarkan aku sendirian.”
Berbalik kepada permulaan sebuah pernikahan tadi,
berpandukan syariat. Along tidak akan menghuraikan
bab pemilihan calon, kerana Along yakin adik-adik Along tahu dan sedar akan
pesanan Rasulullah yang sangat spesifik dan mudah difahami tentang kriteria pemilihan
calon suami dan isteri. Apa yang Along cuba fahamkan di sini adalah proses selepas
terpilihnya seorang calon baik lelaki mahupun perempuan. Bukan proses fizikal
seperti membeli keperluan pernikahan, berapa wang hantarannya, berapa dulang
berbalas dulang, warna tema untuk keluarga (belum masuk tema busana pengantin),
lauk pauk (tetamu VIP, VVIP dsb), tetapi lebih kepada proses dalaman diri bakal
pengantin, soal hati.
“Soalnya hati, sukar di
mengerti
Apa terjadi di luar kawalan diri”
Apa terjadi di luar kawalan diri”
Lagu cerita Soal Hati lakonan Erra Fazira dan Afdlin Shauki
suatu masa dulu.
Soal hati yang hanya akan ditanggung oleh bakal pengantin. Dan
hanya seseorang yang benar-benar bersedia untuk bernikah secara fizikal dan
mental akan merasainya sesuatu yang di luar kawalan diri itu. Kita akan mula memikirkan natijah yang akan
timbul setelah bernikah biarpun pasangan yang bakal dikahwini telah hampir 10
tahun dikenali.
“Dulu mase couple, boleh main break up. Kalau dah
kahwin,takkan nak….”
“Dulu mase couple, boleh flirt, mesej-mesej ngn orang lain. Kalau
dah kahwin …”
“Boleh ke dia ni bagi aku makan, makan dia pun aku yang
bayar?”
Pelbagai persoalan yang akan timbul di akal dan membebankan
hati kerana tiada jalan penyelesaian. Senyumlah. Bersyukurlah adik-adik Along kerana
kita lahir sebagai seorang muslim. Jadi untuk mengurangkan bebanan hati dengan
persoalan akal yang tiada jawapan, sebagai yang paling tua dalam keluarga,
Along berpesan, sentiasalah SOLAT
ISTIKHARAH.
“Istikharah Along? Buatnya nanti keluar muka orang lain,
teruk kita Long. Cincin tanda dah hantar.”
“Istikharah kan untuk buat pilihan, ni kan dah ada yang
terpilih?”
Itulah yang selalu difahami oleh adik-adik Along. Benar, apa
yang kalian fahami memang tiada salahnya. Tetapi, tiada salahnya juga menambah
sedikit pemahaman terhadap solat istikharah. Solat istikharah menunjukkan suatu
kebergantungan yang tinggi terhadap Allah, baik dalam membuat pemilihan ataupun
keputusan. Sebagai contoh, melaksanakan solat istikharah selepas membuat
sesuatu keputusan ialah semata-mata bertujuan untuk membuat hati kita redha terhadap keputusan dan apa yang bakal berlaku
selepas keputusan diambil, serta yakin bahawa keputusan tersebut dipandu oleh
Allah. Maka, apa-apa yang berlaku selepasnya sama ada berupa nikmat atau ujian
dari Allah, kita akan sentiasa bertawakkal dan ingat bahawa Allah sentiasa
bersama kita.
(Dedikasi buat adik-adik Along 6061)
No comments:
Post a Comment