Friday 10 August 2012

Novel: Fatimah Amna


"Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat." (Riwayat Ahmad)

Apakah dia tidak bijak dalam memilih teman? Apakah wajar keluhan yang terluah setelah lebih 10 tahun dia berteman dengannya? Semalaman hati Amna bingung dan resah. Mengapa begitu mudah temannya mengambil keputusan sedrastik itu? Dialah teman yang paling dekat dengannya sejak di bangku sekolah rendah. Malam ini Amna benar-benar berasa jauh hati. Seakan bisa tembus siling batu yang ditenung di perbaringan. Bukankah sahabat itu cerminan diri kita sendiri?

Betapa dia begitu mencemburui temannya itu sejak kecil. Punya keluarga yang lengkap, lagi baik didikan agamanya. Abahnya seorang kakitangan kerajaan yang hampir lima waktu solatnya dikerjakan di masjid. Mamanya, guru pertama yang Amna temui dan kenali sewaktu menginjak usia tujuh tahun. Hari pertama di sebuah sekolah rendah yang jauh di pelusuk negeri. Mereka memang bukan seperti anak-anak kota yang membesar dalam hiruk-pikuk kesesakan besi di jalanan dan kemaruk pembangunan konkrit di celah kemelut susuk-susuk manusia.

Mereka anak kampung. Sama-sama membesar di lecak sawah bersama keli-keli sebesar labu betis. Berlari ke tempat mengaji di atas denai, sempadan tapak sawah selebar tapak kaki. Terkadang terceplos kaki dalam selut, habis bercapuk kain baju kurung. Cepat-cepat si Siti dan Ija terjun membantu. Ketawa besarlah si Hadi Gemuk dan Imran Keling menyaksikan gelagat mereka bertiga. Gelaran waktu kecil-kecil dulu. Kedengaran seolah-olah mengejek, tetapi itu yang mengerat. Persahabatan zaman kanak-kanak. Penuh tawa dan riang. Tiada apa yang membimbangkan hati dan memberatkan fikiran. Pagi berbasikal ke sekolah, pulang berlari ke tempat mengaji. Petang bermain lagi. Puas bermain pasti nenek sudah bercekak pinggang di muka pintu. Indahnya waktu itu. Terkadang Amna rindu pada hanyirnya bau lecak, pada tengiknya bau peluh teman-teman sepermainan, pada harumnya rambut nenek seusai bersiram di pagi hari.

Hari ini, Hadi Gemuk sudah tidak gemuk lagi. Imran Keling? Memang tidak akan cerah lagi, tetapi sudah hilang gelaran Keling itu. Masing-masing sudah besar. Masing-masing sudah ada jalan hidup sendiri. Sudah tidak bermain bersama. Sudah jarang bersua. Sudah tahu adab dan sempadan dalam perhubungan. Cuma tinggal Amna, Siti dan Ija yang masih rapat. Terus berhubung biar masing-masing berada di menara yang berbeda. Lain bidangnya, lain minatnya. Nenek, cuma nenek yang masih sama wangian rambutnya. Kemas dililit daun pandan.

Amna tersenyum dalam tangis. Senyum teringatkan kenangan zaman kanak-kanaknya. Menangis hatinya mengenangkan teman yang tidak mampu melawan dusta dunia.

'Mengapa jalan itu yang kau pilih?' Hatinya merintih sendiri.

"Amna,kalau aku khabarkan pada kau, pasti kau tidak percaya. Aku ternampak Siti di Kuala Lumpur. Dia sudah tidak bertudung."

Suatu masa Imran menghubunginya, menceritakan pengalaman matanya. Tetapi Amna masih tidak percaya. Katanya pasti pandangan Imran tersalah. Orang lain mungkin. Amna bukan jenis orang yang terima sekonyong-konyong pendapat tanpa bukti yang nyata. Amna bilang, kalau kata-kata Imran tidak benar, itu fitnah. Dan yang pasti fitnah itu lebih buruk dari membunuh.

"Tahukah kau berdosa memfitnah wanita-wanita muslimah, lebih-lebih lagi dia sahabat kita yang baik Imran?" Amna pantas mencantas cerita Imran.

"Nah, aku sudah bisa menebak. Itu pasti jawabmu, Amna. Kau memang ustazah dari kecil. Sudah tentu aku tahu dosa pahala. Tidak mengapalah, andai mataku yang tersasar pandangan, aku mohon maaf. Tapi andainya mataku tepat, besar tanggungjawab kita Amna. Dia teman kita." Imran menoktah bicara sebelum memberi salam di hujung talian.

Tut tut..
Talian putus.

Itu cerita tahun lalu. Tetapi siang tadi mata Amna terkaku, hatinya bagai ditampar saat melihat temannya itu di laman muka buku. Benar tepat pandangan Imran. Siti sudah tidak berhijab. Cantik. Memang sejak kecil Siti memang yang tercantik antara mereka bertiga. Mulus kulitnya, kecil molek orangnya.
'Sayangnya kau curangi nikmat kecantikan yang dikurnia Allah, temanku.' Getus hati Amna.

Terngiang-ngiang suara Imran di corong telefon tahun lalu,
"...Tapi andainya mataku tepat, besar tanggungjawab kita Amna. Dia teman kita."

Itu tahun lalu. Selepas menerima panggilan dari Imran, Amna ada ketemu Siti dan Ija menghabiskan cuti semester bersama. Tiada yang luar biasa. Siti masih Siti yang sama. Bertudung, biarpun berkemeja dan berseluar denim. Memang itu rutin mereka bertiga. Setiap kali cuti semester, pasti ada saja aktiviti mereka. Jarang ada di rumah. Apa tidaknya, mereka cuma bertemu sekejap waktu. Apabila kuliah bermula, masing-masing akan kembali ke pusat pengajian yang berbeza bagi meneruskan jihad yang belum sudah.

“Ke mana saja kau Ija? Cuti-cuti ini ada saja kerja kau. Bukannya lagi di rumah, membantu Mak.” Emak Ija bersyarah.

“Ija keluar dengan Amna dan Siti. Bukan lama Mak. Cuma 3 hari. Si Siti tu kuliahnya lambat cuti. Tak sama Ija dan Amna.”

Memang tempat pengajian Siti punya jadual cuti yang berbeza berbanding Amna dan Ija. Jadi di kesempatan masa yang ada itulah mereka bertiga bagaikan belangkas. Ke mana sahaja pasti bertiga. Terkadang sampai tertidur di rumah Amna. Terlalu banyak yang ingin diceritakan. Perkembangan terkini, pelajaran, kasih dan kekasih. Perbincangan biasa bagi remaja biasa seperti mereka. Keseronokan dalam hilai tawa teman-temannya menyebabkan Amna terus mengabaikan pengucapan yang disampaikan Imran. Amna sangat yakin, Imran pasti tersalah lihat. Apatah lagi di celah-celah kota metropolitan yang dibanjiri pelbagai jenis manusia, sudah tentu ada pelanduk dua serupa. Kata orang tua-tua, di dunia ini punya tujuh orang dengan rupa paras yang sama.

‘Mengarut saja si Imran ni!’ Getus hati Amna.

Amna tersenyum melihat Siti dan Ija yang tertidur kepenatan. Foto-foto zaman persekolahan bergelimpangan di lantai kayu rumah Nenek. Jam sudah berdering. 6.00 pagi. Suara kokok si ayam jantan sayup-sayup kedengaran. Dalam kantuknya, Amna mengejutkan teman-teman untuk mengerjakan solat Subuh sambil menyusun kembali foto ke dalam album. Nenek pasti sudah lama bangkit. Memang kebiasaan Nenek berpagi-pagi. Kata Nenek, di usia senja kini,dia tidak boleh lagi tidur terlalu lama. Rugi.

“Rugi? Kenapa Nek? Kan best tidur lama-lama!” Amna pantas memangkah Nenek. Pipi bulat Amna menjadi mangsa cubitan tangan tua Nenek.

“Rugi sebab umur Nenek dah banyak. Bila umur dah banyak, maksudnya masa untuk Nenek tambah bekalan Nenek di akhirat nanti sudah semakin kurang. Kan Rasulullah SAW ada berpesan, apabila meninggalnya anak Adam itu, dia meninggalkan tiga perkara; anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah. Nenek dah hilang bekalan yang pertama. Jadi Nenek kena tambah yang lain-lainnya. Faham cucu Nenek?” Nenek gosok kepala Amna kuat-kuat. Mata Amna berkaca. Amna peluk Nenek.

“Tapi Nenek ada Amna. Amna ada ilmu yang Nenek bekalkan. InsyaAllah, Amna akan gunakan sebaik mungkin dan akan ajarkan pula pada orang lain. Kalau ada yang tanya siapa yang ajar Amna, Amna akan beritahu mereka, Nenek yang ajar.”

Nenek. Segala-galanya terimbas cantik mengikut kenangan Amna cuti semester yang lalu. Seolah-olah ada video yag sedang dimainkan di dalam benaknya. Malam ini Amna tidak bisa memfokuskan minda terhadap kerja-kerja kuliah. Nenek, Siti, Ija dan Imran bersilih ganti menjenguk danau pemikirannya. Dia larut dalam kebingungan dan keresahan. Entah jam berapa dia terlena malam itu. Dia pun tak pasti. Yang pasti lenanya dibuai permasalahan teman baiknya sendiri.

No comments:

Post a Comment