Tuesday 7 August 2012

Kembali ke Pelukan Mama..

Hujung minggu lepas saya, suami dan Mus'ab berangkat pulang ke negeri tanah tumpah darah saya. Jauh di pantai timur sana. Sudah hampir sebulan tiket ditempah secara atas talian. Saya memang benar-benar berhajat untuk pulang. Lebih-lebih lagi tahun ini giliran beraya di rumah suami. Inilah kali pertama saya tidak akan beraya bersama Mama, Papa dan adik-adik. Hanya Allah yang tahu perasaan ini. Malam 1 Ramadhan menyaksikan betapa saya rindukan Mama. Sayu hati mengingatkan susuk tubuh yang sudah 27 tahun membesarkan kami adik-beradik. Air mata saya mengalir laju seusai solat Maghrib. Siangnya saya sudah menghubungi Mama, memohon kemaafan sempena hadirnya Ramadhan Karim pada tahun ini.


Setiap kali  menelefon (memang setiap hari saya akan cuba untuk telefon Mama) Mama pasti bertanya soalan yang serupa.

"Betul Along tak balik raya tahun ni? Tak meriahlah raya Mama tahun ni."
Allahu Akbar, runtun hati seorang anak mendengar suara Mama di hujung telefon. Biar beratus kali sudah saya maklumkan saya tidak akan beraya bersama pada tahun ini, beribu kali Mama tetap akan bertanya. Kadang-kadang, terkeluar keluhan berat dari mulutnya.

"Itulah dah kahwin dengan orang jauh, nak buat macam mana lagi..."
Maafkan Along, Mama. InsyaAllah, tahun hadapan kita beraya bersama. Along mohon Mama redha dengan jodoh Along.


'Ya Allah, semoga Mama ampunkan segala dosaku dan menghalalkan segala usahanya membesarkanku. Ya Allah, kurniakan dia kesihatan yang baik agar dapat beribadah dengan tenang sepanjang Ramadhan kali ini. Semoga dia sempat menemui Ramadhan lagi pada tahun hadapan.'

Saya menyusun bait kata terindah untuk memujuk suami agar bisa kembali menemui Mama. Alhamdulillah, suami saya memang tidak membantah. Tiket ditempah sejumlah hampir RM 1k, pergi dan balik. Biar berhabis wang, asalkan saya tidak berhabis kasih buat Mama.

Perasaan untuk pulang membuak-buak apabila adik-adik saya menceritakan keluhan Mama tatkala mendengar perkembangan Mus'ab, Mus'ab sudah pandai itu, sudah pandai ini. Apatah lagi menyaksikan foto keletah Mus'ab di laman muka buku. Kata mereka, air mata Mama pasti bergenang sewaktu bercerita tentang cucunya nan seorang ini.

"Mesti bila balik sini, Mus'ab dah pandai lari kan..?" Kata Mama sambil menggosok mata yang tidak gatal beberapa hari sebelum saya pulang ke kampung. Mama memang tidak tahu akan kepulangan saya pada hujung minggu itu.

Adik-adik saya yang nakal ketawa kecil. Merekalah yang membantu saya dalam merancang kepulangan rahsia kami. Oops, bukan adik-adik sahaja, Papa pun turut berkomplot dengan kami. Sengaja buat 'surprise' untuk Mama. Kalau Papa tak ada, siapa yang akan jemput kami di lapangan terbang nanti. Masing-masing ada tugasan. Angah sibuk mencari dan mengatur tempat berbuka yang berdekatan dengan lapangan terbang. Segala alasan diberi untuk memastikan rahsia tersimpan utuh. Hanya Achik yang selalu terbocor mulutnya. Geram betul Kakak. Saya pun pelik bagaimana rahsia kami boleh sampai ke telinga Achik. Tapi itulah adik-adik saya. Pelbagai ragam dan kerenahnya. Baru 3 orang yang disebut, ada lagi 3 orang.

Alhamdulillah, perancangan kami berjalan lancar. Dengan alasan keluar mengambil 'hamper' daripada ofis, Papa dan Angah keluar menjemput kami. Memang besar 'hamper' buat Mama hari ini. Sesampai di tempat berbuka, Angah terus membawa   'hamper'  besar ke tempat Mama.

"Inilah  'hamper' Mama!"
Mama terus bangkit dari tempat duduknya menyambut Mus'ab. Ketawa besar kami sekeluarga. Lupa pada mata-mata di sekitar yang turut berbuka di tempat yang sama.

"Patutlah Achik asyik tersasul saja." Mama bersuara girang.

Kan betul? Achik memang susah nak simpan rahsia. Lebih-lebih lagi dengan Mama. Tak mengapalah. Yang penting kami selamat sampai, Alhamdulillah. Ada 2 malam lagi untuk saya berbuka dengan juadah air tangan Mama. Tak sabar rasanya.

Ada suatu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan sewaktu pulang kali ini. Sedang saya asyik berbaring menyusukan Mus'ab, Mama datang berbaring dan memeluk saya dari belakang dengan erat.

Kata Mama, "Ini anak TokMa tau Mus'ab.."
Ada sendu dalam kata. Mama mencium rambut saya. Tangan Mama yang merangkul pinggang, saya genggam. Kuat dan kejap. Saya tahu bukan cuma Along yang rindukan Mama, tapi Mama pun begitu. Saya ialah satu-satunya anak Mama yang akan tidur ditemani Mama setiap kali pulang bercuti ke kampung sejak saya berusia 13 tahun. Budak kecil yang hidup dan membesar di asrama sebuah sekolah di selatan tanah air. Timur ke Selatan. Jauh bukan? Tapi itulah hakikatnya. Sudah tentu malam-malam saya bertemankan air mata. Untung ada cuti sekolah, itulah sekadar waktu untuk saya ketemu Mama, Papa dan adik-adik. Sudah pasti kala ini Mama merindui saat-saat itu.

Terngiang-ngiang ucapan Mama yang kadang terbit di bibir, "Itulah..Along kahwin cepat sangat.."
Saya sekadar tersenyum. Sudah sampai jodoh Along Mama. Lagipun, tidaklah terlalu cepat pernikahan di usia 25 tahun. Cuma mungkin Mama belum puas bermanja, atau Mama masih rasakan anaknya kecil seperti dahulu. Percayalah Mama, kalau Mama belum puas bermanja, anak ini lebih rasakan kerinduannya.

Hari ini 8 Ogos, hari lahir Mama yang ke 51. Buat Mama yang tersayang, tiada harga terbanding dengan nilai kasihmu. Tiada doa yang lebih mustajab dari doamu. Tiada wanita tercantik dalam lubuk hati,selainmu. Tiada kata seindah bahasa untuk kupuji dirimu.

Terima kasih, Mama. Kusyukuri nikmatMU Ya Allah.


No comments:

Post a Comment