Tuesday 31 July 2012

Pernikahan Suatu Perjudian?


"Pernikahan suatu perjudian. Nasiblah dapat suami yang bagaimana. Kalau dapat yang baik, Alhamdulillah. Kalau dapat yang tak baik, nasiblah.." 


"Manalah kita tahu perangai dia macam tu. Masa berkawan dulu, nampak macam ok."


Masih terngiang suara seorang sahabat bercerita tentang masalah rumahtangga. Yang pasti masalah rumahtangga memang tak pernah berkesudahan selagi belum kembali kepada Yang Maha Pengasih. Kalau saya, saya klasifikasikan penceritaan sahabat tadi lebih kepada pasrah, bukannya redha. Seolah-olah tiada usaha yang dilakukan untuk mendapatkan pasangan yang terbaik dalam hidup. Main tangkap muat sahaja. Tetapi, mereka 'berkawan'. Pada pendapat saya, sepatutnya mereka lebih mengenali antara satu sama lain kalau sudah berkenalan di peringkat awal. 


Di mana silapnya? 


Pernikahan suatu perjudian. Istilah itu sudah cukup menunjukkan satu kesilapan di peringkat awal. Mengapa diberikan satu tanggapan negatif terhadap pernikahan yang begitu mulia? Bukankah pernikahan itu yang melengkapkan fitrah alam, khususnya manusia? Bagaimana untuk membina suatu keluarga yang produktif dilimpahi dengan sakinah, mawaddah dan rahmah seandainya di dalam minda kita telah disetkan pernikahan itu suatu perjudian hidup? Natijahnya, lahirlah suatu masyarakat yang langsung tidak menghargai institusi kekeluargaan. Dan yang lebih teruk lagi, ada yang sanggup tidak bernikah hanya kerana takut mendapat pasangan yang salah. Pada masa yang sama, kes kelahiran anak tidak sah taraf terus meningkat dan menular di kalangan masyarakat kita.


Bagaimana untuk mengatasinya? Bagaimana untuk mendapatkan pasangan yang tepat?


Saya suka untuk mengecilkan skop perbincangan kepada pucuk pangkalnya, iaitu individu itu sendiri. Logiknya, siapa kita untuk memastikan itulah orang yang tepat untuk kita. Jadi, siapa yang boleh kita andalkan? Siapa yang Maha Mengetahui dan Maha Merancang? Mestilah Allah SWT! Nah, di sini titik permulaannya. 


Wahai adik-adik yang budiman, (buat semua yang sudah tahu erti pernikahan walaupun masih bersekolah menengah)
Kembalilah pada Allah. Pertama, percayalah pada Allah akan janjiNya. Wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jadi lihat pada diri. Bagaimana harapan kita untuk pasangan? Kalau kita mahukan pasangan yang soleh, maka jadilah wanita yang solehah. Kalau kita mahukan suami yang cukup solatnya, maka cukupkan solatmu. Mudah bukan? 


Kedua, berceritalah pada Allah akan segala hajatmu. Bagaimana caranya, berceritalah padaNya dalam doamu saban waktu dan di mana sahaja kau berada adikku. Biarpun Allah pasti tahu apa yang kau fikirkan, Dia lebih suka jika hamba meminta padaNya. Maka mintalah dan terus meminta, kerana Allah rindu pada hamba yang meminta-minta. 


Ketiga, tanyalah pada Allah. Bagaimana nak bertanya pada Allah? Tanyalah dalam istikharahmu. Tanyalah Dia yang manakah pilihan yang terbaik. Si dia atau dia. Terima atau tidak. InsyaAllah, Allah pasti akan tunjukkan jalan yang terbaik. 


Dengan ini, pernikahan BUKAN lagi suatu perjudian. Kerana hati kita telah redha dan ikhlas dalam menerima sesiapa sahaja dalam hidup setelah bergantung harap sepenuhnya pada yang Maha Esa. Kita hanya merancang, Allah jualah Perancang yang terbaik.


InsyaAllah, nanti saya kongsikan cerita seorang sahabat tentang usahanya dalam mencari pasangan yang terbaik dalam hidupnya. 

No comments:

Post a Comment