Monday 30 July 2012

Ibu Mertua Ku..


Wahai hati dan akal..kuatkanlah diri untuk membahagiakan jiwa2 yang tersayang..kerana segalanya bermula di sini..~o Allah, bless all d luvly people around me.make them forgive my all weaknesses and wrongs..-ummu mus'ab


Itu status di FB saya malam tadi. Sebelum melelapkan mata ditemani Mus'ab yang telah lama dibuai lena, sempat saya menjengah FB di telefon Samsung W hadiah daripada suami tercinta sempena Hari Ibu yang pertama sebagai Ummu Mu'sab. Terlalu banyak yang saya fikirkan sebelum berbuka siang hari semalam. Perasaan bersalah berbaur gundah begitu menebal dalam diri hati saya. 

Apa taknya, sesampai saya di rumah lebih kurang jam 3.30 petang, saya terus meluru ke ruang kamar. Mengantuk yang amat sepanjang perjalanan dari tempat kerja pulang ke rumah. Entah berapa kali saya terlelap sepanjang perjalanan sejauh 55 kilometer itu. Alhamdulillah, segalanya masih selamat sehingga hari ini. Selama lebih kurang 10 hari Ramadhan saya berulang-alik sejauh 110 kilometer setiap hari pergi dan balik, hari inilah kali pertama saya terlelap di jalanan. Banyak kali pula tu. Untung tiada apa-apa yang ditakdirkan berlaku. Allah masih sayangkan saya. 

Berbalik kepada kes mengantuk saya tadi. Lebih teruk lagi, cuaca yang panas dan bahang mentari telah membuatkan kepala saya pening. Sudahnya saya terlelap sampai jam 6.30 petang. Bertambah indah tidur saya apabila Mus'ab menjadi bantal peluk saya. 6.30 petang?? Maksudnya saya dah terlambat untuk Asar dan lebih parah lagi, saya tak sempat nak membantu ibu di dapur! Betapa bersalahnya rasa hati saya. Saya bingkas bangun untuk tunaikan kewajipan pada yang Esa. Semerbak aroma Nasi Mandhi (sejenis nasi Arab) sewaktu saya melangkah ke bilik air utuk mengambil wudhuk. 

'Ya Allah, lembutkan dan lapangkan hati ibu mertuaku!' Tercetus sebait doa di hati saya. 

Benar hanya Allah yang tahu perasaan bersalah saya. Sudahlah menumpang di rumah mertua. Berbuka ibu yang sediakan. Sahur ibu yang siapkan. Saya? Makan saja. Tetapi Allah Maha Pemurah, dikurniakan saya seorang ibu mertua yang sangat baik, Alhamdulillah. Dan oleh kerana terlalu baik itu jugalah, perasaan bersalah saya semakin parah. Kebiasaannya, biarpun ibu yang sediakan segalanya, saya akan sentiasa ada di dapur untuk membantu apa yang mampu. Hari ini? Batang hidung menantu pun tak nampak. Sebab itulah tercatat status di atas pada FB saya malam tadi sekadar untuk meluahkan perasaan.

Jauh di sudut hati saya, saya berjanji, saya harus menebus segalanya. Saya harus menghilangkan perasaan bersalah yang menekan dalam diri. 


Seperti biasa, saya bangkit jam 4.30 pagi. Seusai membersihkan diri dan solat, saya bergegas ke dapur. Dengan harapan untuk membantu ibu menyediakan sahur dan melunaskan hutang perasaan bersalah yang masih menebal. Pintu bilik ibu sudah terkuak, pasti ibu sudah di dapur. Memang ibu sentiasa bangkit seawal jam 4 pagi. Itu rutin harian ibu. 

Tetapi kenapa dapur masih gelap?

Rupa-rupanya, ibu terlambat bangun. Alhamdulillah..Allah Maha Tahu. Allah Perancang Yang Maha Hebat. Saya berjaya menyiapkan sahur untuk keluarga suami pada pagi ini. Terima kasih Allah. Terima kasih ibu, ibu mertuaku.


No comments:

Post a Comment